Monday, 1 December 2014

Teori Kedatangan Islam dari China



        

Teori kedatang Islam dari China telah dikemukakan oleh dua orang tokoh, iaitu Emanuel Gadinho dan S. Q Fatimi. Alasan Emanuel Gadinho adalah bahawa Islam datang dari China kerana Khan Fo dan Canton telah menjadi pusat perdagangan dan menjadi tempat penyebaran Islam Arab sejak abad ke-9 Masihi. Beliau juga berpendapat bahawa Islam disebarkan dalam kalangan peniaga Cina dan seterusnya telah disebarkan ke Asia Tenggara.

S. Q. Fatimi (1963) pula mengatakan Islam datang dari China kerana terdapat pedagang Islam di Canton yang berpindah beramai-ramai ke Asia Tenggara. Teori tersebut diperkukuh dengan penemuan Batu Bersurat Kuala Berang di Terengganu. Penemuan tersebut membuktikan kewujudan Islam di Terengganu. Batu Bersurat tersebut dijumpai pada 1899 M. Isi tulisan yang terdapat pada batu bersurat tersebut adalah tentang hukum syarak, peraturan dan undang-undang, dan hukunman berzina.

Selain itu, bukti lain yang menunjukkan bahawa Islam datang dari China ialah penemuan batu nisan yang bertarikh 1028 M di Kampung Permatang Pasir Pulau Tambun, Pekan, Pahang. Batu nisan tersebut mempunyai ayat al-Quran dan kalimah Arab. Batu nisan ini membuktikan bahawa Islam datang ke Asia Tenggara sebelum abad ke-13 Masihi. Malahan turut wujud persamaan seni bina masjid di Kelantan, Melaka, dan Jawa. Terdapat persamaan bumbung, atap genting, warna merah dan kuning pada kayu kepala pintu dan tingkap, dinding, tangga dan kolam air yang terdapat pada seni bina Melaka dan China.

Edited from: Warisan Warga Alam Melayu by Muhammad Bukhari Lubis, Makmur Haji Harun, Alizah binti Lambi

                                                   

No comments:

Post a Comment