Monday, 1 December 2014

Perkembangan Tulisan Jawi di Nusantara



Sejak agama Islam mula bertapak di Nusantara atau di Alam Melayu, tulisan Jawi mula berkembang dan hidup bersama-sama masyarakat Melayu. Menurut cacatan sejarah, tulisan Jawi pertama ditemui di Tanah Melayu pada abad ke-3 Hijrah ( Amat Juhari Moain, 1996). Tulisan Jawi muncul seiring dengan kedatangan Islam ke Indonesia pada abad pertama Hijrah. Kedatangan Islam ke Indonesia mengubah kehidupan masyarakat dengan meninggalkan amalan animisme dan mengambil Islam sebagai satu cara hidup. Budaya ilmu yang dibawa oleh Islam mengeluarkan mereka daripada kejahilan kepada kebenaran. Tulisan Jawi memainkan peranan penting bagi menyokong perkembangan Islam. Perkembangan dan penguasaan tulisan Jawi di Indonesia mengambil masa yang lama disebabkan masyarakat setempat yang sudah sebati dengan kepercayaan pengaruh agam Hindu-Buddha. Namun, penerimaan Islam menjadikan penduduk setempat dapat menguasai tulisan Jawi.
          Sebelum wujudnya tulisan Jawi  di nusantara, telah muncul satu bentuk tulisan daripada pengaruh Dewanegara yang digunakan oleh orang Pallava di India dan negeri-negeri lain seperti di Sumatera Selatan, Campa, Ligor, dan Jawa. Bukti wujudnya tulisan Pallava dapat dilihat pada prasasti Kota Kapor di Bangka, Sumatera Selatan yang wujud pada abad ke-7 Masihi. Selain di Kota Kapor, terdapat juga bukti penggunaan tulisan Pallava seperti di Sajametra, Manju Shriga, Bukateja, Syang Hyang Wintbang dan Dangpu Hawang Glis.
          Lazimnya tulisan Jawi dikaitkan dengan agama Islam. Walaupun kedatangan agama Islam di Alam Melayu masih lagi kabur, namun terdapat beberapa buah prasasti yang menunjukkan bahawa Islam wujud di Asia Tenggara sejak lama dahulu. Antara bukti yang menunjukkan bahawa Islam wujud di Nusantara ialah penemuan batu nisan makam Sheikh Abdul Qadir Ibn Husain Shah Alam di Langgar, Alor Setar, Kedah, bertarikh 290 H bersamaan 910M. Terdapat juga batu nisan yang ditemui di Pekan, Pahang subuh hari Rabu 14 Rabi’ul Awal 429 H; batu nisan yang ditemuai di Phanrang, Vietnam bertarikh 431 H bersamaan 1039 M; dan batu nisan puteri Sultan Abdul Majid Ibnu Muhammad Shah al-Sultan bertarikh 440 H bersamaan 1048 M di perkuburan Islam, Jalan Residensi, Brunei Darussalam. Selain itu turut ditemukan batu nisan Fatimah Maimun bt. Hibatullah bertarikh 475 H bersamaan 1082 M Di  Leran, Gresik, Jawa Timur. Penemuan-penemuan tersebut membuktikan agama Islam sudah lama bertapak di Alam Melayu.

No comments:

Post a Comment