Monday, 24 November 2014

Nasib Tulisan Jawi

Tulisan jawi pada masa kini sudah tidak berharga dan berhadapan dengan cabaran yang sukar apabila generasi pewarisnya tidak mengenal dan tidak tahu membaca tulisan jawi.
Tulisan jawi adalah sebuah tulisan yang indah dan cantik. Ia boleh digubah melalui pelbagai gaya. Tulisan jawi digunakan dalam al-Quran dan manuskrip melayu serta penglipurlara.

Friday, 7 November 2014

Asal usul istilah 'Jawi'

 
Tahukah anda, istilah Jawi sering dikaitkan dengan panggilan Arab kepada suatu rumpun bangsa di Nusantara. Orang Arab beranggapan, semua suku bangsa di Nusantara berasal dari Jawah dan penghuninya dipanggil Jawi. Menurut Amat Juhari Moain, nama Jawi itu berasal daripada kata bahasa Arab "Jawah". Apabila dijadikan kata adjektif Jawah menjadi Jawi. Perkataan Jawah atau Jawi berkemungkinan berasal daripada perkataan Javadwipa, iaitu nama bagi daerah Asia Tenggara pada zaman purba.

Bagi orang Arab, kata Java sahaja yang diambil, manakala perkataan dwipa ditinggalkan. Kata Java ini digunakan untuk merujuk di seluruh Asia Tenggara. Penduduknya juga dinamakan dengan penggunaan kata tersebut atau dalam bentuk adjektifnya menjadi Jawi. Oleh itu, kata Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi rakyat peribumi di Asia Tenggara termasuklah bangsa Campa, Pattani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandaling, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipino mahupun bangsa-bangsa lain. 

Pandangan ini turut disokong oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menyatakan bahawa, "Kita tahu bahawa istilah Jawi itu adalah nama gelaran orang Arab terhadap seluruh bangsa-bangsa penduduk daerah kepulauan ini (Alam Melayu)". Masyarakat Arab zaman lampau menggelarkan sesuatu bangsa pada umumnya berdasarkan gelaran buminya. Suku kaum yang mendiami di daerah bumi berkenaan dianggap bangsa yang sama. Sebagai contoh, bumi Afrika dikenali sebagai "Bilad al-Sudani" dan suku kaum di Afrika dikenali sebagai al-Sudani. Oleh  itu, tidak hairanlah semua kaum dari Alam Melayu dikenali sebagai Jawi kerana buminya dikenali sebagai "Bilad al-Jawah". Faktor warna kulit, bentuk badan dan bahasa yang sama menyebabkan orang Arab zaman lampau menggolongkan suku-suku kaum berkenaan kepada suatu kumpulan bangsa.